Sucinya Sebuah Cinta part 1

Sekarang kebanyakan universiti sedang bercuti panjang. Pada masa ini, boleh dikatakan ramai para mahasiswa berlumba-lumba untuk mendapatkan kerja. Tidak kira kerja apa, asalkan boleh mendatangkan hasil dan dapat mengisi kekosongan masa cuti yang panjang ini.
Namun aku lebih suka untuk tinggal di rumah sahaja. Membantu emak berniaga kedai runcit. Lagipun, aku ingin menghabiskan masa cutiku bersama keluarga.
Selama ini aku banyak menghabiskan masa nun jauh di utara negeri untuk mengejar cita-cita dan harapan. Dan kini aku ingin menebus kembali rinduku kepada keluarga yang telah bertukar menjadi dendam ini.
" Ilah! Tolong jaga kedai kejap. Mak nak solat dulu." Pinta emak sewaktu melintasi bangku tempat dudukku. Bagiku, aku lebih suka bekerja di kedai runcit ini sebab aku berpeluang untuk menghabiskan beberapa buah buku yang sengaja kubeli sewaktu dalam perjalanan balik ke kampung. Kalau boleh, aku juga ingin meningkatkan lagi perniagaan keluarga ini. Aku sedang mencari idea untuk memajukan kedai milik keluarga ini.
" Hai Ilah! Bila balik?" Tanya makcik Som sambil meletakkan barang-barang yang mahu dibelinya ke atas kaunter.
" Balik semalam. Makcik sihat?" Tanyaku sekadar berbasa-basi.
" Sihat orang tua Ilah. Lama ke kamu cuti ni?"
" Adalah dalam tiga bulan." Jawabku.
" Berapa lama lagi pengajian kamu tu?"
" Lebih kurang empat bulan lagi makcik."
" Ah dah tak lama tu. Nanti senanglah sikit mak dan ayah kamu bila kamu dah kerja nanti." Katanya sambil menjelaskan bayaran dan terus berlalu.
Bila disebut pasal kerja, aku sendiri pun masih belum tahu kerja apa yang ingin ku cari nanti. Masih belum terfikir lagi dalam fikiran ku ini. Cuma yang penting, aku ingin tamatkan pengajianku ini dengan seberapa segera. Aku ingin membantu keluarga serta menampung adik-adik yang masih lagi menuntut. Kesian aku tengok mak dan ayah bersusah payah untuk menyara kehidupan kami.
Dalam keasyikan aku membaca buku itu, telefon bimbitku berbunyi menandakan ada panggilan. Aku tersenyum bila melihat nombor yang tertera kerana aku tahu siapa. Orang yang selalu aku rindu dan ingati. Orang yang banyak mengubah cara hidupku. Kadang-kadang aku seperti tidak percaya bahawa aku boleh tertarik padanya hanya dengan sekali pertemuan. Padahal sebelum ini aku tidak pernah mengenalinya. Mungkin hanya melalui abang dan adik ku yang rapat dengannya. Itulah dinamakan takdir.
" Hello!"
"Abang sini. Bagi tahu kawan-kawan yang lain kita nak buat mesyuarat persatuan petang lusa kat surau."
" InsyaAllah.."Jawabku.
" Ilah sihat?" Soalnya.
" Sihat. Abang pula?"
" Ok je. Maafkan abang sebab tak dapat cakap panjang. Abang ada kerja ni."
" Nanti kita sambung lagi. Ok." Dia memutuskan talian.
Sudah lama aku tidak menemuinya membuatkan aku bertambah rindu. Maklumlah aku di Utara manakala dia di Selatan. Impian dan cita-cita yang membuatkan kami terpisah, namun tetap jua bersemi dan hadir ke dalam jiwa tatkala rindu mula membara. Entah macam mana rupa dia sekarang. Kali terakhir aku menemuinya dua bulan yang lepas, dia agak kurus sedikit. Rambutnya panjang mencecah bahu, janggut dan jambang dibiarkan tumbuh meliar. Walaupun aku sudah memberitahunya bahawa aku tidak begitu menyukai penampilannya sebegitu, namun dia tetap mengatakan itulah imejnya. Dah puas aku beritahu, tapi dia tetap begitu. Apa-apa pun keadaannya, aku tetap sayang padanya kerana aku tahu sikap dan perangainya. Hanya penampilan dia sahaja yang begitu tetapi dia tetap hebat.
Kiranya aku ceritakan, mungkin sukar untuk diterima orang. Sebenarnya aku dah lama tertarik padanya. Dia selalu menjadi imam di surau dekat kampungku. Manakala aku pula selalu menjadi makmumnya apabila berpeluang. Aku cukup tenang sewaktu mendengar bacaan ayat-ayat sucinya. Suaranya membuatkan aku terpukau sejenak. Dan kadang-kadang orang kampung memintanya untuk menyampaikan kuliah. Aku juga selalu mendengar kuliahnya. Dia cukup pandai mengolah isu-isu semasa dalam kehidupan masyarakat.
" Aah... banyak perkara yang ada padanya membuatkan aku jatuh hati." Aku rasa gembira bila teringatkan tentang mesyuarat persatuan yang akan diadakan malam lusa. Itulah peluang aku untuk menemuinya. Dengar khabar, dia bercuti sekejap sahaja kerana dia ingin mengambil kelas musim panas. Idea dialah juga untuk menubuhkan persatuan mahasiswa di kampung kami. Katanya untuk mengumpulkan anak-anak penduduk kampung yang belajar di universiti bagi mencurahkan jasa kepada pembangunan ilmu dan minda penduduk. Kami menyokong penuh ideanya itu, maka tertubuhlah persatuan mahasiswa di kampung kami.
Malamku di kampung agak berbeza dengan di kampus. Ini kerana aku tidak mempunyai sebarang aktiviti khusus seperti mesyuarat persatuan, studi, bersukan dan sebagainya. Di rumah ini aku hanya mampu menghabiskan masa untuk membaca buku dan membantu keluarga di kedai runcit.
Tiba-tiba sahaja aku berasa sunyi dan kesepian. Sunyi dari kesibukan kampus dan tugas seorang pelajar. Tapi sebenarnya aku rindu. Rindu pada seorang kekasih yang selalu memujuk dan membelai jiwaku dengan tingkah lakunya yang terhormat dan tutur bicaranya yang terjaga. Tingkah lakunya yang terjaga membuktikan bahawa dia menghormati maruah kewanitaanku serta kesucianku sebagai seorang gadis. Dia mampu membuatkan aku rasa selamat bila menemuinya. Tutur kata bicaranya memukau telinga serta bisa memujuk jiwa yang resah dan gelisah. Walaupun aku dan dia sekampung, namun dia tetap menjaga nama baikku dan nama baiknya daripada diperkatakan orang kampung.
Cuma aku sedikit tidak faham dengan prinsipnya. Katanya, dia tak nak mengikat aku dengan sebarang janji. Jika ada takdir yang menyebelahi kami, insyaAllah kami akan diijab kabulkan.
" Abang tak nak mengikat Ilah dengan sebarang janji. Ilah bebas menentukan arah hidup dan pilihan Ilah." Katanya padaku.
" Sekiranya ada orang datang meminang, Ilah dan keluarga berkenan serta bersetuju maka abang rela dan redha melepaskan Ilah. Abang akan sentiasa mendoakan kebahagiaan Ilah. Cuma Ilah perlu memberitahu abang je agar abang tidak berharap." Sambung dia lagi. "Kalau sesuatu itu telah ditakdirkan Allah milik kita, walau ia berada di seberang laut dan dalam keadaan merangkak sekalipun ia akan tetap datang ke pangkuan kita. Namun sekiranya sesuatu itu telah ditakdirkan bukan milik kita, walaupun telah kita kunyah dan telan namun ia tetap akan dimuntahkan juga." Itulah kata-kata yang selalu diucapkan olehnya padaku. Namun, aku pasti semua orang bersetuju sekiranya aku katakan bahawa terlalu sukar untuk kita mengubah kasih sayang sekiranya kita benar-benar mencintai seseorang kerana cinta, kasih dan sayang adalah bukan sesuatu mainan yang boleh dijual beli sesuka hati. Terlalu banyak masalah hati yang timbul sekiranya aku terus memikirkannya. Namun kadang-kadang, perasaan rinduku ini
membuatkan kenangan dan ingatan pengalaman perjalanan hidup ini menjadi manis.
Suasana malam di kampung cukup menenangkan jiwaku. Tiada bunyi bising dan kekalutan seperti di kampus. Di sini malamnya sunyi dan mendamaikan. Hanya sesekali sahaja terdengar bunyi burung tukang ataupun burung jampuk bernyanyi. Desir angin yang berlagu mendendangkan irama istimewa buat penduduk kampung seperti aku yang sentiasa inginkan persekitaran yang dapat mengembalikan ketenangan jiwa dan kedamaian hati. Ia membuatkan aku tidur lena bagai diulit dayang dan inang. Seperti yang telah dijanjikan, ahli-ahli persatuan berkumpul di surau untuk menghadiri mesyuarat. Kebanyakan ahli dapat menghadirkan diri, maklumlah semua kampus sedang bercuti sekarang. Aku dan beberapa kawan-kawan yang lain telah menyediakan beberapa juadah untuk jamuan selepas mesyuarat nanti. Walau apa pun, yang pentingnya aku terpaksa menyediakan laporan mengenai biro yang aku pegang.
Pada mesyuarat agong yang lepas, aku telah dilantik sebagai pengerusi biro Helwani. Mengikut tentatif mesyuarat, tujuan utama diadakan mesyuarat hari ini adalah untuk membincangkan tentang aktiviti-aktivi yang akan diadakan pada musim cuti ini. Mesyuarat dimulakan dengan ucapan aluan oleh Presiden persatuan dengan menaruh harapan agar persatuan dapat menfaatkan masa yang ada ini untuk menjalankan aktiviti yang boleh mengeratkan lagi hubungan dikalangan para ahli dan juga pada masa yang sama dapat menaburkan bakti kepada masyarakat kampung. Seterusnya pembentangan laporan oleh setiap ketua biro mengenai perkembangan gerak kerja yang telah dilakukan dan perancangan yang bakal dilakukan. Para ahli telah bersetuju untuk bersama-sama mengadakan kelas tuisyen malam untuk anak-anak kampung ini yang akan mengambil peperiksaan SPM hujung tahun nanti. Oleh itu, setiap orang dibahagikan tugas-tugas yang perlu dilakukan. Aku telah ditugaskan untuk mengajar subjek matematik.
" Hai Ilah! Engkau nampak rapat je dengan abang Shidi tu? Ada apa-apa ke?" Tanya Marisa sewaktu kami menghadap jamuan.
" Ish, engkau ni. Aku biasa aje. Tak ada apa-apa pun. Macam engkau dengan dia juga." Kataku. Kalau boleh, aku tak nak kisah cinta kami ini diketahui orang sebab nanti banyak pulak masalah yang bakal timbul nanti. Lagipun aku dah janji dengan abang Shidi untuk merahsiakannya selagi dapat.
" Manalah tau kot-kot senyap berisi pulak." Sampuk Elisa.
" Takkanlah dia nak pilih orang macam aku. Sedangkan kat kampus dia tu ramai lagi yang lebih baik dari aku." Helah aku.
" Engkau mana tahu hati orang. Lagipun aku tengok dia tu macam suka je kat engkau." Sambung Marisa lagi.
" Engkau orang ni, jangan pandai-pandai pulak nak mereka-reka cerita. Kan susah pulak aku nanti." Kataku sambil berlalu dengan membawa pinggan-pinggan serta cawan ke sink.
Nampak gayanya, kawan-kawan yang lain dah mula dapat menghidu hubungan baik kami ini. Bukan apa, aku takut juga nanti bila orang dah tahu akan tersebar pula berita-berita yang tidak benar tentang kami.
Tadi abang Shidi sempat memberitahuku bahawa dia nak datang ke rumah malam nanti. Katanya dah lama dia tak jumpa aku, jadi dia nak datang melawat aku di rumah. Khabar itu membuatkan aku gembira. Memang aku menanti-nanti kedatangannya. Ingin sekali aku menatap wajahnya sepuas hatiku untuk menebus segala rinduku. Ingin sekali aku dengar suaranya agar bisa membangkitkan perasaan kasih dan sayang. Begitulah kebiasaannya bila dia pulang bercuti ke kampung. Dia akan datang menemuiku di rumah di temani keluargaku sendiri sebagai saksi pertemuan kami. Agar kami dapat mengelakkan dari sebarang fitnah dan cerita dari mulut manusia.
Malam ini aku turun berjemaah di surau. Berkebetulan abang Shidi yang menjadi imamnya. Sudah lama juga aku tidak menjadi makmumnya, tidak mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan alunan zikirnya. Malam ini aku berpeluang lagi untuk menikmati keindahan dan kemerduan suaranya itu. Selepas solat maghrib, para jemaah memintanya untuk menyampaikan kuliyah maghrib. Walaupun tanpa persediaan, namun dia masih mampu untuk menyampaikan kuliyahnya dengan baik dan teratur sekali. Aku lihat,para muslimat dan kaum ibu begitu khusyuk sekali dan kadang-kadang tersenyum oleh kerana telatah dan lawak yang diselitkannya dalam kuliyahnya itu. Dia membincangkan isu masalah umat zaman sekarang. Zaman teknologi yang penuh dengan cabaran yang boleh menggugat keimanan para orang Islam.
" Tanpa iman yang kukuh dan persediaan ilmu, orang Islam akan hanyut dalam arus kemodenan yang telah ditaja barat dengan membelakangkan agama. Pada pendapat mereka, dengan berpegang pada agama ia akan menghalang penganutnya dari mencapai kemajuan dan kemodenan." Kata abang Shidi.
" Telah banyak bukti-bukti yang ditunjukkan Allah bagaimana kesan dan kesudahannya kemodenan yang membelakangkan agama. Contohnya barat sendiri. Dalam mengejar arus kemodenan, kita boleh lihat berapa ramai para remaja perempuan mereka yang melahirkan anak-anak diluar nikah. Semakin maju kehidupan mereka semakin banyak jenayah yang berlaku dan semakin hebat perancangannya. Semakin maju dan canggih peralatan semakin singkat cara berpakaian mereka sehingga mereka tanpa segan silu mendedahkan tempat-tempat yang tidak sepatutnya didedahkan kepada orang ramai." Hujahnya lagi.
"Hari ini, perkara sebegini telah menular ke dalam masyarakat kita. Anak-anak kita bebas berpakaian yang kononnya 'up to date' atau mengikut arus semasa. Mereka juga bebas memilih pasangan mereka serta tanpa rasa takut melakukan perkara-perkara yang selayaknya dilakukan oleh sepasang suami isteri di atas nama kekasih. Bagi mereka itulah sebenarnya kemodenan. Ibu bapa pula telah hilang peranan dan hak-hak mereka untuk mendidik anak-anak mereka. Mereka hanya mampu melihat sahaja apa yang berlaku."
Bagiku, apa yang dikatakan oleh abang Shidi itu ada kebenarannya. Di kampungku sahaja, perkara-perkara seperti itu telah wujud. Anak-anak muda yang terpengaruh dengan mereka yang pulang dari bandar-bandar besar dengan membawa buah tangan berupa budaya-budaya kuning yang tidak senonoh itu. Itulah sebahagian dari perbincangan kami sewaktu mesyuarat petang tadi. Cuba untuk mendapatkan idea dan cadangan bagaimanakah cara dan jalannya untuk kami lakukan bagi mengembalikan identiti masyarakat Islam yang sedang menghadapi konflik identiti ini.
" Oleh itu, setiap kita mempunyai tanggungjawab yang besar untuk dimainkan bagi memastikan perkara ini tidak berlaku. Kita perlu sama-sama mencegahnya supaya apabila ia berlaku kita tidak akan saling menunding jari untuk meletakkan kesalahan itu di atas bahu dan kepala orang lain. Semoga Allah s.w.t membantu kita dalam menegakkan agamanya yang suci ini daripada terus dicemari oleh perkara-perkara yang menjijikkan itu."
Itulah kata-kata terakhirnya sebagai penutup untuk kuliyah maghribnya malam itu. Aku lihat, kebanyakan ahli jemaah berpuas hati dengan kuliyahnya tadi. Selepas solat isyak, aku terus balik ke rumah kerana abang Shidi dah janji untuk datang ke rumah malam ni. Saja aku balik awal sikit kerana aku nak goreng mee sebagai jamuan bila abang Shidi datang nanti. Lagipun tak ada yang istimewa untuk hidangan nanti, cuma aku tahu abang Shidi suka makan mee.
Sedang aku asyik di dapur, aku terdengar suara ayah memberi salam. Diikuti suaranya menjemput seseorang naik.
" Jemputlah naik!" Aku yakin, dia datang dengan ayah semasa turun dari surau tadi.
" Terima kasih." Ucapnya sambil melangkah naik ke rumahku. Aku masih lagi dalam bilik untuk memakai tudung. Biarlah ayah dan mak yang melayannya dulu. Aku mengenakan tudung pink yang pernah dihadiahkan olehnya sewaktu aku menyambut ulang tahun kelahiranku yang ke 22 baru-baru ini.
" Ilah! Abang Shidi datang ni. Keluarlah..."Panggil mak. Segan juga aku nak keluar, maklumlah dah lama tak jumpa. Lagipun mak dan ayah ada sama. Apa yang aku nak cakap depan mereka nanti. Takkan nak cakap pasal cinta, rindu dan sayang. Malulah aku sebab mereka terlebih dulu makan garam daripada kami.
" Abang apa khabar?" Tanyaku sewaktu melabuhkan punggung di atas sofa setentang dengannya.
"Alhamdulillah, sihat. Ilah pulak macam mana?"
" Ok je. Macam biasa, cuma.." Aku tak dapat menghabiskan kata-kataku bila aku tiba-tiba sedar yang mak dan ayah ada bersama kami. Kalau tidak pasti mereka tahu nanti. Tapi aku yakin, walaupun mereka tidak tahu secara pasti namun mereka dapat mengagak dari cara kami berdasarkan pengalaman mereka sebagai orang tua.
" Duduklah dulu yea, makcik nak ke dapur kejap." Mak bangun menuju ke dapur. Manakala ayah pula bangun untuk menukar bajunya. Jadi sekarang hanya tinggal aku dan abang Shidi saja di ruang tamu rumahku itu.Aku jadi lebih segan bila kulihat dia sedang asyik memerhatikan aku. Dia kemudian tersenyum bila dia lihat aku tersipu-sipu malu kerana diperlakukan begitu.
" Abang rindu pada Ilah..."Antara dengar tak dengar dia memberitahuku.
"Ilah pun macam tu juga. Tapi nak buat macam mana, nak jumpa selalu tak boleh. Sabar sajalah." Kata-kata itu bagaikan untuk memujuk hatiku sendiri. Aku sendiri pun kadang-kadang tak tertahan rasa rindu di hati ini. Tapi di sana ada batas-batas yang perlu aku sedari agar aku tidak terjerumus ke dalam kancah yang boleh membinasakan kami sendiri.
" Kalau tidak kerana janji dan cita-cita, dah lama abang masuk pinang Ilah. Kita kahwin lagi baik daripada terus dalam keadaan begini."
Aku tahu betapa abang Shidi berpegang kuat pada janjinya. Dia telah berjanji dengan keluarganya untuk menjaga ibunya yang sudah tua dan menampung pengajian adik-adiknya terlebih dahulu apabila dia tamat pengajian nanti. Lagipun dia mempunyai cita-cita yang tinggi untuk masa depan. Segala-galanya dia telah ceritakan padaku tentang janji dan cita-citanya itu supaya aku tahu keadaan dirinya. Sebab itulah dia tidak mahu mengikat aku dengan sebarang janji kerana dia takut aku tidak mampu menunggu lebih lama. Jadi aku bebas untuk menentukan haluanku sendiri. Katanya dia redha dan rela sekiranya aku memilih lelaki lain sebagai suamiku sekiranya itu sudah jodoh dan takdir bagiku.
bersambung....
Post a Comment